*Kontraktor mendongak ke atas* dan kemudian berkata,
“Harga wiring elektrik RM20,000 lump sump, siap semua..”
Dalam kepala anda pun kebingungan dari mana beliau peroleh nombor tersebut.
Kos untuk membuat wiring sepatutnya dipecahkan mengikut skop kerja seperti pembekalan dan pemasangan wayar, suis, soket, kipas, lampu dan lain-lain barangan elektrikal yang berkaitan.
Di dalam artikel ini, kami akan ajar anda bagaimana cara yang terbaik untuk membuat kiraan dalam skop wiring elektrik ini dan elak ditipu oleh kontraktor yang tidak bertanggungjawab.
Apa itu wiring?
Terma wiring sering digunapakai dalam bidang pembinaan rumah yang memberi maksud pembekalan dan pemasangan sistem elektrik dalam sesebuah binaan rumah.
Ini termasuk dan tidak terhad kepada pembekalan dan pemasangan:
- Wayar (Pendawaian)
- Kotak Fius (Distribution Board,DB)
- Suis
- Soket
- Kipas
- Lampu
- Water Heater / Aircond
Dan lain-lain komponen yang memerlukan penguasaan elektrik.
Apakah pecahan dalam harga wiring elektrik?
Di dalam konsep wiring, elemen utama dan harga yang paling mahal untuk skop ini adalah pada jumlah wayar yang digunakan. Ia dikira berdasarkan panjang wayar yang digunakan.
Setiap wayar yang dipasang di dalam rumah perlu kembali ke Kotak Fius atau dikenali sebagai Distribution Board. Dan kemudiannya, ia disambung ke rangkaian elektrik TNB.
Untuk mengetahui berapakah panjang wayar yang diperlukan, anda perlu tentukan bagaimana laluan wayar tersebut; bermula dari suis atau soket, sehinggalah ke kotak fius.
Untuk pengetahuan anda, laluan wayar yang ditanam di dalam dinding adalah berbentuk geometrikal.
Bermakna, ia tidak mempunyai laluan yang liku-liku seperti ular.
Laluannya adalah sama ada – atas, bawah, kiri atau kanan.
Maka, untuk pengiraan jumlah panjang yang diperlukan adalah sangat mudah.
Anda hanya perlu tahu lokasi suis yang anda inginkan, dan tentukan laluan yang sesuai untuk wayar daripada suis tersebut sehingga ke kotak fius.
Contoh:
Lihat gambar rajah di bawah dan perhatikan lokasi Komponen Elektrikal dan Kotak Fius.
Panjang wayar dikira dari Komponen Elektrikal di Bilik 2,ke atas, ke kiri dan menembusi dinding ke arah Kotak Fius di Bilik 1.
Jadi jumlah panjang wayar bagi contoh di atas adalah (2 + 3 + 2.5 + 4 + 3 + 1) 15.5 meter.
Untuk kerja pembinaan rumah baru, anda perlu pastikan kolaborasi yang baik antara tukang bina rumah dengan tukang elektrik supaya pembukaan untuk laluan wiring disediakan.
Ini bagi mengelakkan kerja kali kedua apabila dinding sudah siap tetapi tiada laluan untuk pemasangan wiring. Sekiranya berlaku, tukang elektrik perlu memecahkan semula sebahagian dari dinding tersebut untuk membuat pembukaan bagi laluan tersebut.
Kerja-kerja tambahan seperti ini bukan sahaja melambatkan proses penyiapan rumah, tetapi ia akan melibatkan kos bertambah berlipat kali ganda lebih tinggi.
Bagaimana ingin membuat anggaran harga wiring?
Seperti yang kita sebut sebelum ini, wiring adalah termasuk pembekalan dan pemasangan keseluruhan sistem elektrikal di rumah.
Untuk memudahkan pengiraan (dan norma untuk industri pembinaan), sebanyak 40% daripada jumlah harga pembekalan bahan kita akan gunakan sebagai harga pemasangan (upah pasang atau labor price).
Kita akan mulakan dengan pembekalan wayar memandangkan ia melibatkan kos yang paling tinggi dalam skop wiring ini.
Kos Wayar
Untuk bangunan kecil seperti rumah, konsep wiring yang digunakan adalah Pendawaian Fasa Satu (Single Phase). Manakala bangunan-bangunan besar seperti kilang, pejabat atau sekolah menggunakan Pendawaian Fasa Tiga (Three Phase).
Kita akan fokus pada Pendawaian Fasa Satu sahaja untuk perbincangan kali ini.
Wayar asas yang digunakan pada Pendawaian Fasa Satu terdiri daripada tiga jenis, iaitu:
- Hidup (Life) – Warna Merah / Coklat
- Neutral – Warna Biru / Hitam
- Bumi (Earth) – Warna Hijau / Kuning
Warna yang anda lihat itu adalah penebatnya sahaja manakala peranan untuk mengalirkan arus elektrik terletak pada isinya iaitu konduktor.
Konduktor ini kebiasannya diperbuat daripada tembaga atau copper.
Seperti emas, harga bahan ini juga tidak menentu kerana ia bergantung pada pasaran dunia. London Metal Exchange (LME) adalah pusat rujukan bagi kenaikan atau penurunan harga tembaga.
Pengilang dan pembekal akan gunakan kadar LME ini untuk menjual wayar kepada peruncit seperti kedai-kedai hardware.
Oleh itu, sekiranya anda survey harga wayar ini, anda akan dapati terdapat perbezaan harga daripada setiap peruncit.
Namun, untuk memudahkan pengiraan, kita akan gunakan standard harga yang digunakan oleh kebanyakan kedai hardware.
Jadi, untuk pengiraan wayar dan kos pemasangannya, anda boleh gunakan rajah di bawah:
Spesifikasi:
2.5mm2 3 Core Cable (Approved by SIRIM)
Kos Seunit (Per 1 meter) | Jumlah Harga (Per Meter) (RM) | |
Bahan (RM) | Upah Pasang (40% Dari Harga Bahan) (RM) | |
2.50 – 5.00 | 1.00 – 2.00 | 3.50 – 7.00 |
Harga bahan adalah berdasarkan harga pasaran semasa (September, 2020) yang dibeli pada harga runcit (bukan borong).
Namun, harga pasang adalah bergantung pada kepakaran kontraktor pilihan anda dan kepandaian anda untuk nego dengan mereka.
Contoh:
Menggunakan contoh di atas, jarak antara suis dalam ruang bilik tidur utama dengan kotak fius adalah sebanyak 15.5 meter, maka jumlah maksimum yang kontraktor boleh kenakan anda adalah RM108.50.
Sekiranya kontraktor anda memberi quotation lebih dari ini, anda boleh tanya kepada mereka mengapa ianya tinggi dan minta mereka pecahkan jumlah harga bahan dan upah.
Harga Komponen Elektrik yang Lain
Seterusnya, kita akan lihat berapakah harga komponen-komponen yang lain —bagi melengkapkan sistem elektrikal di rumah baru anda.
Komponen-komponen ini akan dipasang mengikut spesifikasi yang anda inginkan.
Sebagai contoh, berapa banyak soket yang anda ingin pasang di ruang tamu, atau berapa banyak kipas yang ingin dipasang di seluruh rumah.
Tetapi anda perlu ingat bahawa setiap komponen yang anda pasang itu memerlukan sistem wiring mereka sendiri. Maka anda perlu faktorkan juga kos pemasangan wayar apabila ingin memasang komponen-komponen elektrik ini.
Harga di bawah adalah termasuk pembekalan dan pemasangan komponen elektrikal sahaja. Setiap komponen di bawah memiliki sijil daripada SIRIM dan dibekalkan oleh peruncit tempatan.
No | Komponen | Harga Seunit (RM) |
1 | Kotak Fius (20 Laluan) | 300.00 |
2 | Suis | 6.00 |
3 | Soket | 6.00 |
4 | Kipas | 200.00 – 400.00 |
5 | Lampu (LED) + Casing (1 Meter) | 12.00 |
Anda sendiri boleh buat kajian harga pada laman-laman atas talian seperti Shopee atau Lazada untuk dapatkan harga bahan.
Anda hanya perlu tambah sebanyak 40% daripada harga bahan sebagai upah pasang pada setiap komponen.
Kos Keseluruhan
Pada peringkat ini, anda sudah boleh buat kiraan kos wiring pada keseluruhan rumah anda dengan menggabungkan kos wayar dan komponen elektrikal yang diperlukan.
Secara mudahnya, di bawah adalah formula untuk pengiraan harga wiring elektrik:
(Kos Komponen Elektrikal 1 + Kos Wayar x Jarak Komponen Elektrikal 1 Dengan Kotak Fius) + (Kos Komponen Elektrikal 2 + Kos Wayar x Jarak Komponen Elektrikal 2 Dengan Kotak Fius) …. = Kos Keseluruhan
Gunakan formula di atas dengan memasukkan semua komponen elektrikal di dalam rumah anda untuk mendapatkan kos kesuluhan untuk kerja-kerja wiring elektrik.
Perancangan tentang berapa banyak komponen elektrik yang anda perlukan perlu dibuat bersama keluarga dan pihak arkitek.
Ini bagi memastikan tiada pertembungan antara kehendak keluarga anda dengan spesifikasi yang wajib dipatuhi untuk pembinaan sebuah rumah baru.
Penyambungan ke TNB, perlu bayar ke?
Ya, anda perlu membayar kos penyambungan ke pencawang TNB.
Jumlah pembayaran bergantung pada jenis rumah dan jarak rumah dari pencawang di lokaliti berhampiran.
Sekiranya terdapat pencawang yang tidak melebih 6km dari kawasan rumah anda, maka Caj Penyambungan yang akan dikenakan adalah sebanyak RM450. Selain itu, TNB juga mengenakan deposit pada setiap sambungan elektrik iaitu sebanyak RM700 untuk Banglo 1 Tingkat atau RM900 untuk Banglo 2 Tingkat.
Namun sekiranya anda membina rumah jauh dari kawasan yang mempunyai infrastruktur sedia ada, iaitu lebih dari 6km, anda perlu membayar harga kabel dan tiang TNB (3 tiang pertama adalah percuma) sehingga ke pencawang masuk utama TNB.
Kos yang terakhir adalah pembayaran pada kontraktor untuk servis permohonan dan pemasangan meter elektrik (termasuk penyambungan ke Kotak Fius rumah). Kos upah permohonan dan pemasangan ini kebiasaannya pada harga RM400-RM600.
Konklusi
Secara amnya, harga pendawaian elektrik bergantung kepada spesifikasi rekaan rumah anda. Lokasi suis dan komponen elektrikal merupakan faktor penting dalam menentukan jumlah wayar yang diperlukan.
Setelah anda mempunyai segala maklumat elektrikal tersebut, maka anda boleh buat kiraan anda sendiri sebelum memanggil mana-mana kontraktor untuk membuat sebut harga kepada anda.
Dengan cara ini, anda dapat lindungi diri anda daripada ditipu dengan harga yang tidak masuk akal oleh kontraktor yang tidak bertanggungjawab!
[cp_popup display=”inline” style_id=”1869″ step_id = “1”][/cp_popup]